Sekolah Kebangsaan Chenor telah diasaskan pada tahun 1901. Usaha gigih ini diterajui oleh Engku Ngah Abu Bakar bin Engku Temenggong Mahmud selaku Penghulu Chenor yang pertama dan beliau disokong kuat oleh adiknya iaitu Panglima Besar Engku Mohd Salleh bin Engku Temenggong Mahmud.
Tapak asal sekolah ini terletak bersebelahan dengan balai polis lama Chenor. Tempat ini dahulunya dikenali dengan nama Tanah Merah. Bangunan asal merupakan reka bentuk rumah limas berukuran 40 X 25 kaki yang dibina oleh tukang Mat Salleh dan Mukim Hassan dengan bantuan penduduk tempatan.
Pada awal penubuhan sekolah ini, tenaga pengajarnya terdiri daripada 3 orang guru iaitu Hj. Andak bin Arshad (penduduk tempatan), Lebai bin Tonggek (Negeri Sembilan), dan Wan Abdul Majid bin Engku Ngah Abu Bakar (Negeri Sembilan). Bilangan murid seramai 24 orang murid yang mana semuanya lelaki. Pendaftaran murid perempuan di sekolah ini bermula pada tahun 1932 dan Engku Gayah merupakan murid perempuan yang pertama didaftarkan.
Pada tahun 1910, sekolah ini telah dipindahkan ke seberang sungai iaitu ke Kampung Pantai Seberang Chenor dan kekal sehingga ke hari ini. Perpindahan ini disebabkan bilangan penduduk di seberang Chenor lebih ramai berbanding di kawasan asal sekolah ini.
Sekolah di seberang sungai ini mula dibina pada tahun 1909 dengan bantuan penduduk tempatan. Tapak asalnya merupakan tanah kebun kepunyaan individu yang dikenali sebagai Awang Mat Rusa. Reka bentuknya merupakan sebuah rumah limas panjang yang berdinding papan dan bertingkap buluh. Sebuah telaga juga telah digali untuk kemudahan mendapatkan air.
Sekolah ini seringkali dilanda banjir. Banjir besar yang melanda pada tahun 1926 dan 1971 telah mengakibatkan pelbagai khazanah sekolah dan sebahagian bangunan dihanyutkan air. Sekolah ini juga pernah ditutup selama 11 bulan ketika peperangan dunia kedua pada tahun 1940. Ketika pemerintahan Jepun di antara tahun 1942 hingga 1945, Engku Wan Hassan telah diberikan tugas untuk mentadbir sekolah ini.
Setelah banjir besar 1971, bangunan sekolah ini telah dibaik pulih dan diubah suai dari masa ke semasa. Pada tahun 1999, sekolah ini telah mendapat satu bangunan dengan 2 unit bilik darjah.
No comments:
Post a Comment